Ketua Pegawai Digital (CDO) Universiti Sains Malaysia
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, izinkan saya merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Universiti Sains Malaysia (USM) selaku penganjur telah berjaya mengadakan Conference on ICT for University 2024 (ICT4U 2.0) yang bertemakan "Foresighting Digital Evolution for Sustainable Education" buat kali yang kedua setelah penganjuran pertamanya pada tahun 2019.
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 dalam merealisasikan transformasi pendigitalan khususnya di Universiti. Ia merupakan langkah dalam menyokong aspirasi Kerajaan untuk menggapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia ke-12.
Sejajar dengan ledakan transformasi negara kepada Revolusi Industri 4.0, pengamal ICT Universiti dapat berkumpul dan berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan berada di tahap terbaik. Platform yang disediakan ini akan memberi peluang dalam peningkatan ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk dipraktikkan di Agensi/Universiti masing-masing. Sepanjang berlangsungnya persidangan ini, kita akan berpeluang menyelami pelbagai perspektif dan inovasi baharu yang dikongsikan oleh para pembentang yang pakar dalam bidang masing-masing.
Kita juga harus memberi fokus kepada penambahbaikan proses kerja semasa yang dilihat akan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih kolaboratif dan berdaya saing. Dalam skop yang lebih besar, pelaksanaan projek-projek ICT yang berkesan akan dapat memberi impak kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan dan kemakmuran kepada warga Universiti. Peranan barisan kepimpinan ICT Universiti sebagai peneraju transformasi digital perlu dijadikan fokus utama dalam mendepani dunia digital yang dinamik. Justeru, saya berharap agar kita dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan hala tuju ke arah pendigitalan secara total. Marilah kita berganding bahu untuk bekerja secara proaktif bagi membolehkan pendigitalan dapat direalisasikan di kesemua Agensi dan Universiti masing-masing.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengarah PPKT khususnya yang menjadi tonggak kepada seluruh warga PPKT USM, pasukan penganjur, pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu menjayakan penganjuran persidangan yang begitu bermakna ini. Akhir kata, syabas dan tahniah diucapkan kepada semua dan semoga usaha murni ini akan mendapat keberkatan dan kerahmatan dari-Nya.
Sekian, terima kasih. Selamat bersidang diucapkan kepada semua!
DR. MUHAMMAD FIRDAUS AKBAR JALALUDIN KHAN
Ketua Pegawai Digital (CDO)
Universiti Sains Malaysia