Persidangan ICT4U (Conference On ICT For University) ini merupakan persidangan untuk kali kedua yang diadakan oleh Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT). Persidangan ini akan diadakan di Hotel Parkroyal, Pulau Pinang pada 18 hingga 19 September 2024.
ICT4U 2.0 ini menyediakan platform kepada pentadbir, penyelidik dan pegawai profesional dan pengurusan (akademik dan bukan akademik) Institusi Pendidikan Tinggi untuk berkongsi pengalaman atau amalan terbaik sepanjang perkhidmatan.
Persidangan ini bertemakan “Perkongsian Amalan Terbaik ICT” dalam pengurusan dan perlaksanaan ICT di peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Persidangan ini menjemput pakar-pakar pengamal ICT dari seluruh Malaysia bagi berkongsi pengalaman dan kejayaan dalam bidang AI, Metaverse, Aplikasi, Infrastruktur ICT, Keselamatan ICT, Big Data, Telekomunikasi dan Smart Campus.
Para pembentang diminta untuk menghantar abstrak dan membentangkan perkongsian yang diharap dapat dimanfaatkan bersama untuk masa hadapan agar melahirkan perkhidmatan yang terjamin dan berkualiti berdasarkan situasi dan keperluan semasa.
Sasaran peserta pula adalah terdiri daripada CDO/Pengarah IT Universiti Awam, MAPITA, Jabatan Digital Negara dan semua pentadbir IT di agensi kerajaan, universiti, politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian awam dan swasta.
Selain dari perkongsian amalan terbaik dari wakil universiti dan industri, terdapat juga forum yang akan membincangkan tajuk “Melaksanakan Pelan Tindakan Digital: Cabaran & Amalan Terbaik”. Di harapkan agar persidangan ini menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan yang amat bernilai dan dapat memberi manfaat kepada organisasi seterusnya memacu kecemerlangan perkhidmatan ICT di negara kita.