Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) ditubuhkan pada bulan Disember 2002. Beberapa jabatan di Universiti Sains Malaysia (USM) yang menyediakan perkhidmatan ICT telah digabungkan di bawah satu pusat perkhidmatan iaitu PPKT.
PPKT terdapat di Kampus Induk di Minden, Pulau Pinang juga di tiga kampus cawangan iaitu Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan dan di Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam, Pulau Pinang.Ia berperanan sebagai satu pusat sehenti dalam menyediakan perkhidmatan ICT yang kompeten, berkualiti dan berkesan untuk masyarakat kampus dan komuniti luar yang berkaitan. Ia juga bertindak sebagai pemangkin kepada segala aktiviti penyelidikan, pembelajaran, pentadbiran, pengajaran, pengurusan dan perundingan Universiti Sains Malaysia(USM). Peranan yang menyeluruh ini dapat memastikan perlaksanaan pembangunan serta penggunaan perkhidmatan teknologi maklumat & komunikasi yang lebih bersepadu di USM, selaras dengan keperluan sasaran menuju ke arah menjadi sebuah e-Universiti Penyelidikan.