KATA ALUAN : PENGERUSI PERSIDANGAN

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dan keizinan-Nya kita dapat mengadakan Persidangan ICT4U 2.0 (Conference on ICT for University) yang dianjurkan oleh Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) dengan kerjasama Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia pada 18-19 September 2024, bertempat di PARKROYAL Resort, Batu Feringghi, Pulau Pinang.  

Persidangan ICT4U yang dilaksanakan buat kali kedua ini bertujuan untuk menghimpunkan pakar-pakar pengamal ICT dari seluruh Malaysia bagi berkongsi pengalaman, hasil penyelidikan atau hasil solusi “Amalan Terbaik” mereka dalam pentadbiran ICT di peringkat universiti awam dan swasta. Ia merupakan usaha memperkayakan pengetahuan dan menambahbaik penyampaian perkhidmatan ICT melalui perkongsian amalan terbaik.

Seramai 28 orang pembentang yang terdiri daripada USM, UPSI, UMPSA, UniMAP, UTM, UTeM, UCSI, UMT, USIM dan UiTM yang akan membentangkan amalan terbaik kepakaran ICT masing-masing merangkumi bidang AI, Metaverse, Aplikasi, Infrastruktur ICT, Keselamatan ICT, Big Data, Telekomunikasi dan Smart Campus. Selain itu, penyertaan yang menggalakkan daripada 16 universiti awam dan 3 universiti swasta akan datang berkumpul di Persidangan ICT4U ini.

Sehubungan dengan itu, saya secara peribadi dan juga mewakili pihak pengurusan PPKT dengan berbesar hati ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Pelaksana ICT4U yang terlibat dan telah bertungkus-lumus menjayakan Persidangan ICT4U 2.0 ini. Tidak dilupakan juga kepada semua barisan pemacu industri ICT tanah air yang sudi menjadi penaja bagi memastikan persidangan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.  

Semoga persidangan ini menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan yang amat bernilai dan dapat memberi manfaat kepada organisasi yang kita wakili seterusnya memacu kecemerlangan perkhidmatan ICT di tanah air yang kita cintai.

Sekian.


MOHD KUSAIRAY MUSA
Pengerusi Persidangan ICT4U 2.0
Universiti Sains Malaysia