Universiti Sains Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1969, merupakan universiti kedua tertua di negara ini. Sebelum Akta Universiti dikuatkuasakan pada 4 Oktober 1971, Universiti Sains Malaysia dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.
Pada peringkat awal, Universiti Sains Malaysia (USM) bermula dengan pengambilan seramai 57 orang pelajar sains. Sejak itu, USM membangun dengan pesatnya dan kini USM mampu menawarkan pelbagai kursus pada peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi kepada lebih 20,000 orang pelajar. Kini, USM terkenal sebagai antara universiti tersohor di dalam mahupun di luar negara.
USM ditubuhkan hasil persetujuan yang tercapai daripada resolusi yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 1962, yang mencadangkan agar sebuah kolej universiti ditubuhkan di Pulau Pinang. Sehubungan itu, sebidang tanah dikenal pasti di Sungai Ara sebagai tapak kolej universiti ini. Majlis Peletakan Batu Asas di tapak ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 7 Ogos 1967.
Walau bagaimanapun, Universiti Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1969 untuk menampung keperluan kampus yang lebih luas dan persekitaran yang lebih kondusif bersesuaian dengan keperluan negara pada masa hadapan.
Pada bulan April 1969, Profesor Hamzah Sendut telah dilantik sebagai Naib Canselor. Dua bulan kemudian, kumpulan pertama seramai 57 orang pelajar telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian mereka. Memandangkan kawasan kampus di Sungai Ara belum dibangunkan, maka kumpulan pelajar ini ditempatkan di Maktab Perguruan Persekutuan Bukit Gelugur yang dipinjamkan daripada Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1971, kampus yang sepatutnya di Sungai Ara dipindahkan ke tapak yang ada sekarang, iaitu di Minden. Lokasi baru seluas 500 ekar yang terletak di kawasan berbukit ini begitu mempesonakan dengan persekitarannya yang menghijau, ditambah pula dengan keindahan laut yang luas terbentang.
Kampus Induk USM terletak di bahagian pulau Pulau Pinang dengan keluasan 591.72 ekar (240.13 hektar). USM mempunyai tiga kampus cawangan iaitu Kampus Kesihatan yang terletak di Kubang Kerian (lebih kurang 300 km dari Kampus Induk), Kampus Kejuruteraan yang terletak di Nibong Tebal (lebih kurang 50 km dari Kampus Induk) dan Institut Perubatan Pergigian Termaju (IPPT) yang terletak di Bertam, Kepala Batas. Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan terletak di Kampus Kesihatan, manakala Kampus Kejuruteraan menempatkan enam Pusat Pengajian Kejuruteraan.